BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, August 19, 2009

MARAH: KEPENTINGAN DAN ANTARA BAIK DAN BURUK


Menyebut berkenaan marah Hamka di dalam bukunya yang berjudul Tasauf moden mengatakan bahawa kemarahan itu sesuatu yang perlu ada bagi manusia kerana tanpa marah manusia akan hilang daya pertahanan. Kemarahan adalah menjadi sebab wujudnya sensitiviti terhadap sesuatu perkara. Tanpa sifat marah, maka seseorang manusia itu tidak ubah seperti makhluk yang tidak bernyawa.

Perasaan marah adalah penting terutama bagi pelajar kerana marah merupakan satu perasaan yang mampu untuk mencegah kemungkaran. Nabi Muhammad S.A.W bersabda mafhummya barangsiapa melihat kemungkaran dia hendaklah mencegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan mulut dan jika dia tidak mampu dia hendaklah mencegah dengan hati dan sesungguhnya mencegah dengan hati itu adalah paling lemah imamnya. Maksud mencegah dengan hati bukan dengan membenci sesorang itu yang melakukan kemungkaran tetapi marah kepada diri sendiri kerana tidak mampu untuk mencegah kemungkaran tersebut.
Menurut Imam Ghazali, kemarahan manusia bermacam-macam. Sesetengahnya marah, lekas tenang dan lekas hilang. Sesetengahnya pula, lambat untuk marah dan lekas pula hilangnya. Yang terakhir itulah yang terpuji.

Dalam hal ini, ahli tasauf Islam menerangkan bahawa marah itu terpuji hanya dalam dua perkara saja iaitu marah mempertahankan kehormatan dan marah mempertahankan agama.

Dalam soal mempertahankan maruah agama pula, begitu juga halnya. Rasulullah S.A.W pernah memuji sahabatnya-sahabatnya kerana sifat mereka yang sangat keras terhadap orang yang ingkar terhadap suruhan Allah di samping sangat berkasih-kasihan di antara sesama mereka. Perkara ini dijelaskan di dalam sabda Rasulullah S.A.W, ‘’Yang sebaik-baik umatku ialah yang sikapnya keras di dalam menjalankan hukum agama.” Dalam menjalankan hukum Islam terhadap orang yang bersalah, di dalam Al-quran ada mengingatkan kita, “Jangan kenal kasihan di dalam menjalankan hukum Allah.”

Bagi seorang muslim, kemarahan yang hadir itu hendaklah terbit dari hati yang ikhlas dalam merperjuangkan agama Allah supaya nafsu tidak mengambilalih peranan akal dalam mengendali sifat marah tersebut. Kata Hamka, “Marah kerana diri menutup keadilan dan marah kerana agama mencari keadilan”. Hujah ini turut dikuatkan lagi dalam sebuah kisah yang berlaku kepada Saidina Ali di dalam sebuah peperangan. Beliau yang hampir berjaya membunuh seorang lawannya dalam peperangan, melepaskan musuh tersebut semata-mata kerana musuh tersebut telah meludah ke mukanya sebelum sempat tikaman pedang Saidina Ali mengenai musuh tersebut. Beliau bimbang andainya sewaktu membunuh musuh tersebut, rasa marah kerana dirinya diludah mengatasai rasa marah kerana agama.

0 comments: